PEKAN – Ahli parti diseru terus memperkukuh semangat perpaduan, kesetiaan dan perjuangan demi memastikan UMNO terus relevan serta diyakini rakyat, khususnya generasi muda.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, demikian sempena meraikan lapan dekad parti itu wujud di negara ini.
“Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-80 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Alhamdulillah, selama lapan dekad UMNO terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu dan benteng dalam mempertahankan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta kedaulatan tanah air tercinta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata, UMNO memainkan peranan penting dalam membawa kemerdekaan, membangun negara serta menjaga kebajikan rakyat dari dahulu hingga kini.
“Semoga UMNO terus teguh berdiri, istiqamah dalam perjuangan dan terus berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.
“Bersatu, Bersetia, Berkhidmat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















