JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita termasuk seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut ditembak depan pusat hiburan di Taman Industri Jaya di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, tiga suspek berkenaan berusia berusia 26 hingga 29 tahun, namun tiada rampasan senjata dilakukan dalam penahanan itu.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, hanya seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Katanya, pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan mangsa berusia 27 tahun yang bekerja di sebuah gudang di Singapura itu serta kebarangkalian kejadian turut melibatkan kumpulan kongsi gelap.
Chuan Huat pada masa sama menjelaskan seorang lelaki berusia 27 tahun yang cedera terkena tembakan dalam kejadian berkenaan adalah rakan kepada mangsa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun berhubung kejadian tembakan itu.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun cedera akibat terkena tembakan itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette
Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah dalam kejadian tembakan depan pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai , Iskandar Puteri, kelmarin.
















