KATHMANDU – Sebuah pesawat Turkish Airlines yang membawa 277 penumpang dan 11 kru terbakar ketika mendarat di lapangan terbang di Kathmandu pada hari Isnin.
Nnamun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden itu.
Pesawat yang berlepas dari Istanbul itu dipercayai terbakar selepas berlaku percikan api pada gear pendaratan sebelah kanan, menurut jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Gyanendra Bhul.
“Semua penumpang dan kru selamat, operasi menyelamat sudah selesai. Kini kami sedang menjalankan siasatan terhadap kemalangan itu,” katanya kepada AFP.
Menurut Bhul, insiden tersebut menyebabkan satu-satunya landasan lapangan terbang berkenaan ditutup hampir dua jam pada waktu pagi sebelum dibuka semula.
Negara Himalaya itu terkenal dengan beberapa landasan paling mencabar di dunia yang dikelilingi puncak bersalji dan bentuk muka bumi sukar, sekali gus menjadi cabaran walaupun kepada juruterbang berpengalaman.
Rentetan beberapa siri nahas udara serta keputusan Kesatuan Eropah menyenaraihitamkan semua syarikat penerbangan Nepal sebelum ini mendorong kerajaan negara itu mengumumkan pelan pemasangan sistem radar dan pemantauan cuaca baharu tahun lalu.
Pada 2015, sebuah lagi pesawat Turkish Airlines yang membawa 224 penumpang pernah tergelincir dari landasan di Kathmandu.
Walaupun tiada penumpang cedera, kejadian itu menyebabkan landasan ditutup selama empat hari dan mengakibatkan puluhan penerbangan antarabangsa dibatalkan. – Agensi
















