Program berkenaan bertujuan merapatkan jurang antara sukarelawan dan masyarakat Orang Asli

KUALA LUMPUR – Seramai 40 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa universiti dan golongan menyertai Program Jalinan Orang Asli bagi memperkasa komuniti pribumi menerusi pendidikan, interaksi sosial dan pembangunan komuniti.

Program anjuran 9Cares di bawah Kolej Kediaman 9, Universiti Malaya yang berlangsung semalam di Dewan Desa Temuan, Damansara Perdana, Petaling Jaya dijalankan dengan kerjasama EnglishBah Learning Initiative dan MyPovertyIs.

Ia bertujuan merapatkan jurang antara sukarelawan dan masyarakat Orang Asli selain meningkatkan kesedaran terhadap cabaran yang dihadapi komuniti berkenaan, kata satu kenyataan.

Pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif dijalankan sepanjang program bagi menggalakkan pembelajaran, pembangunan diri serta pertukaran budaya dalam kalangan peserta dan sukarelawan.

Selain menyemai kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam komuniti Orang Asli, program itu turut menjadi platform membentuk nilai tanggungjawab sosial serta empati dalam kalangan sukarelawan melalui pengalaman bersama masyarakat pribumi.

Penganjuran program berkenaan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan motivasi pendidikan dalam kalangan peserta Orang Asli, di samping memberi pendedahan kepada sukarelawan mengenai realiti kehidupan komuniti tersebut.

Program berkenaan turut mendapat sokongan beberapa penaja dan rakan kolaborasi termasuk MR.DIY, SUHAKAM, The Hive, Roots of Borneo dan Solidariti Pendidikan.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan menerusi pendekatan berasaskan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast