KUALA LUMPUR – Seramai 14 individu termasuk 10 wanita warga Vietnam direman tujuh hari sehingga 15 Mei ini selepas ditahan dalam tiga serbuan berasingan kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud, berkata sindiket berkenaan menggunakan wanita warga asing sebagai ‘runner’.
“Serbuan yang dijalankan pada 8 Mei lalu turut merampas pelbagai jenis dadah dipercayai methamphetamine, ketamin, serbuk MDMA dan cecair MDMA dengan nilai keseluruhan RM7,247.

“Serbuan pertama kira-kira jam 11.15 pagi di sebuah hotel di Taman Maluri membawa kepada penahanan seorang wanita warga Vietnam selepas polis menemukan methamphetamine seberat 0.31 gram dan ketamin seberat 1.01 gram di dalam bilik penginapan terbabit.
“Susulan itu, serbuan kedua kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah kediaman di Bukit Jalil menyaksikan tujuh wanita warga Vietnam, seorang wanita tempatan berbangsa Cina serta seorang lelaki warga Bangladesh diberkas.
“Polis turut merampas serbuk MDMA seberat 82.72 gram, ketamin seberat 1.64 gram dan wang tunai RM700.
“Dalam serbuan ketiga kira-kira jam 1.15 petang di Bukit Jalil, polis menahan dua wanita warga Vietnam dan dua lelaki tempatan berbangsa Cina,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, turut dirampas cecair MDMA sebanyak 3,040 mililiter dan serbuk MDMA seberat 879 gram.
Menurutnya, hasil saringan awal mendapati sembilan daripada keseluruhan suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin, manakala kesemua mereka yang berusia 20 hingga 30-an itu dilaporkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39B, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali. – MalaysiaGazette
















