KUALA LUMPUR – Kebangkitan politik pelakon tersohor kini Ketua Menteri, C Joseph Vijay di Tamil Nadu dilihat menjadi simbol perubahan landskap politik moden apabila rakyat mula memberi kepercayaan kepada pemimpin yang dekat dengan masyarakat dan tidak bergantung kepada dinasti politik atau kelompok elit.
Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih, Datuk N Sivakumar berkata, fenomena itu menunjukkan politik kini sedang memasuki era baharu apabila rakyat semakin menilai pemimpin berdasarkan keikhlasan, keberanian dan kemampuan memahami denyut nadi masyarakat.
Menurut Sivakumar yang juga Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Vijay memasuki dunia politik tanpa struktur kuasa tradisional dan tanpa pengaruh keluarga politik namun berjaya memimpin salah satu negeri terbesar di India yang mempunyai jumlah penduduk lebih ramai daripada Malaysia.
“Rakyat melihat sifat rendah diri, disiplin, kejujuran dan keberanian beliau untuk mengangkat rakyat biasa ke posisi kepimpinan.
“Anak pemandu, pemandu auto dan anggota trafik diberi peluang menjadi Ahli Dewan Undangan. Ini bukan sekadar politik tetapi satu transformasi politik yang memberi mesej besar kepada generasi muda,” katanya hari ini.

Sivakumar berkata, perkembangan itu membuktikan kepimpinan sesebuah negara tidak seharusnya hanya dimiliki golongan elit atau mereka yang mempunyai kekayaan, hubungan dan pengaruh tertentu.
Katanya, sesebuah negara akan menjadi lebih kuat apabila peluang diberikan kepada individu yang benar-benar memahami perjuangan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada sistem politik di Malaysia bersedia membuka ruang lebih luas kepada pekerja sosial, pemimpin belia, aktivis masyarakat dan muka baharu yang telah lama berkhidmat untuk rakyat.
“Generasi muda hari ini sedang memerhati dan mereka mahukan politik yang lebih dekat dengan rakyat, bukannya politik yang hanya berlegar dalam kelompok tertentu.
“Masa depan politik akan menjadi milik pemimpin yang berjalan bersama rakyat, bukan di atas rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette















