Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhenti mengerah keringat anggota bawahan semata-mata untuk memastikan beberapa nama besar terus selesa di `kerusi selamat’.

Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin berkata, anggota parti turun ke bawah untuk mempertahankan parti ketika susah, bukan untuk melihat budaya mencari jalan mudah terus diraikan apabila parti berada di puncak kuasa.

Menurut beliau, sekiranya benar analisis kerusi PKR hari ini semakin membimbangkan, maka yang perlu berubah ialah strategi dan kepimpinan.

Tegasnya, jangan setiap kali rakyat mula menolak, penyelesaiannya hanyalah memindahkan sosok pemimpin tertentu dari satu kerusi ke satu kerusi demi menyelamatkan karier politik masing-masing.

“Isu cadangan Nurul Izzah ke Batu, kemudian dikaitkan pula ke Bandar Tun Razak, dalam masa sama muncul pelbagai nama lain mahu berebut kerusi, hanya menambahkan persepsi bahawa perjuangan reformasi semakin jauh daripada denyut nadi rakyat biasa.

“Anggota di akar umbi bukan mesin politik yang boleh diperah setiap musim pilihan raya,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Razeef, sekiranya ada pemimpin yang gagal mempertahankan sokongan rakyat, maka ruang dan peluang perlu diberikan kepada generasi baharu.

Tegasnya, parti reformasi seperti PKR tidak boleh takut kepada proses pembaharuan dan tidak hanya bercakap tentang perubahan kepada negara, tetapi gagal melaksanakan perubahan dalam parti sendiri.

“Kini ada cadangan Datuk Seri Anwar (Ibrahim) untuk bertanding di Ampang meninggalkan Tambun, Zafrul di Pandan meninggalkan K. Selangor, Amiruddin di Selayang meninggalkan Gombak dan Ramanan serta Fuziah cuba nasib di Batu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu mempertimbangkan untuk kembali ke Permatang Pauh…Di situlah maruah perjuangan ini dibina…Jangan biarkan Permatang Pauh sekadar tinggal nostalgia sejarah ketika rakyat dahulu sanggup berkorban demi sebuah idealisme bernama reformasi.

“Kalau tidak, Deklarasi Permatang Pauh akhirnya hanya akan tinggal sekeping kertas retorik, indah dibaca ketika ceramah, tetapi janji dan semangatnya semakin dinodai oleh budaya mempertahankan kuasa serta perebutan kerusi sesama sendiri…,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast