Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penganjuran `Himpunan Daulat Tuanku’ yang dijadual berlangsung di Shah Alam pada Sabtu ini, yang disifatkan sebagai tanda solidariti mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu daripada sebarang penghinaan dan cabaran terbuka.

Ketua Pemudanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, himpunan yang dianjurkan Dewan Pemuda Pas Selangor bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan mesej tegas rakyat kepada mana-mana pihak yang didakwa semakin berani mempertikai serta memperlekeh institusi diraja atas nama politik dan kebebasan bersuara.

Menurut beliau, rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Institusi Raja-Raja Melayu disentuh secara biadab dan melampaui batas.

“Institusi Raja-Raja Melayu adalah benteng terakhir agama, kestabilan dan identiti negara.

“Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedaulatan, kuasa dan kemuliaan Raja-Raja Melayu, manakala Perkara 3(2) pula meletakkan Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan Raja-Raja Melayu disifatkan sedang “bermain dengan api perpecahan nasional”.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, DPPWP memberi amaran agar tiada pihak menjadikan institusi diraja sebagai bahan eksperimen politik atau berselindung di sebalik slogan demokrasi bagi menghalalkan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu.

Azmer Syazwan mendakwa, terdapat kelompok politik tertentu yang dilihat semakin berani menyentuh perkara asas kenegaraan termasuk mempertikai titah Sultan, mempersenda sensitiviti Melayu-Islam serta memainkan isu agama dan bangsa.

Katanya lagi, situasi itu jika dibiarkan boleh membawa negara ke arah krisis penghormatan terhadap institusi negara yang berbahaya.

“Rakyat mempunyai hak untuk bangkit mempertahankan institusi diraja secara aman dan berperlembagaan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didakwa menghina atau memperlekeh institusi diraja sama ada melalui ucapan, penulisan mahupun media sosial.

Tambahnya, Malaysia dibina atas asas Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang yang tidak boleh diganggu gugat.

Sehubungan itu, DPPWP menyeru seluruh rakyat khususnya golongan muda untuk hadir berhimpun secara aman dan berdisiplin bagi mempertahankan maruah institusi diraja. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast