SHAH ALAM – Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan perbezaan pandangan politik tidak seharusnya membawa kepada kompromi terhadap semangat kesetiaan kepada Raja dan negara seperti termaktub dalam Rukun Negara.
Beliau berkata, Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pemuda PAS Selangor Sabtu ini perlu dilihat dalam konteks hak semua pihak mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan bukannya dijadikan medan mencetuskan perpecahan politik.
Menurutnya, institusi diraja merupakan payung penyatuan rakyat yang perlu dihormati tanpa mengira fahaman politik.
“Kita boleh berbeza parti dan ideologi politik, namun dalam soal menjunjung Raja dan mempertahankan keharmonian negeri, semua pihak perlu berdiri atas prinsip yang sama.
“Perbezaan politik tidak bermakna kita menggadaikan kesetiaan kepada Raja dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan selagi ia dilaksanakan secara aman, tertib serta mematuhi undang-undang.
Sehubungan itu katanya, beliau melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor akan menyediakan 1,000 pek makanan dan minuman kepada peserta himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap budaya demokrasi yang matang dan aman.
“Dalam suasana politik semasa yang semakin mencabar, rakyat perlu menolak budaya provokasi dan kenyataan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.
“Menjunjung Raja bukan sekadar slogan politik atau retorik bermusim, tetapi perlu diterjemahkan melalui penghormatan terhadap Perlembagaan, undang-undang dan usaha mengekalkan kestabilan negeri,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Keadilan Selangor berkata, institusi Raja-Raja Melayu perlu terus menjadi simbol penyatuan rakyat dan tidak wajar dipolitikkan secara keterlaluan sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Katanya, Selangor selama ini dikenali sebagai negeri yang meraikan kematangan demokrasi dan perbezaan pandangan secara terbuka tanpa menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama serta akan sentiasa mendengar suara hati rakyat.
“Semua pihak perlu memainkan peranan meredakan keadaan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan keamanan, kestabilan dan perpaduan negeri terus dipelihara,” katanya.
Terdahulu, Pemuda PAS Selangor dilaporkan akan menganjurkan Himpunan Daulat Tuanku pada jam 5 petang Sabtu ini dengan peserta diminta memakai pakaian berwarna kuning.
Himpunan itu dianjurkan susulan dakwaan beberapa pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan yang disifatkan tidak menghormati institusi diraja Selangor. -MalaysiaGazette
















