Mohamed Khaled Nordin merasmikan Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan tentera di Kem Batu 3, Kluang hari ini.

KLUANG – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway hujung bulan ini bagi membincangkan pembatalan perolehan peluru berpandu antikapal (NSM) dari syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).

Menurut beliau, penyelesaian secara saluran diplomatik itu dilakukan secara pertemuan empat mata di Singapura.

“Pembatalan perolehan peluru berpandu yang dibuat saat-saat akhir itu amat memeranjatkan dan mengecewakan.

“Adalah sangat malang apabila kita tandatangan untuk membeli peluru berpandu daripada Norway dalam tahun 2018, dan sepatutnya Mac ini kita sudah terima bagi melengkapkan kapal-kapal kita, tetapi beberapa hari sebelum tarikh penghantaran penghantaran itu dibatalkan.

“Sekarang kita gunakan saluran diplomatik, Perdana Menteri kita akan berhubung dengan Perdana Menteri mereka, Menteri Luar kita dengan Menteri Luar mereka dan saya mungkin akan berjumpa dengan Menteri Pertahanan mereka di Singapura, hujung bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan tentera di Kem Batu 3 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled enggan mengulas lanjut memandangkan perkara tersebut masih dalam proses rundingan diplomatik.

Pada 9 Mei lalu, KDA menjelaskan bahawa semua keputusan berkaitan lesen eksport bagi pembekalan NSM untuk LCS TLDM, adalah di bawah bidang kuasa penuh pihak berkuasa Norway.

Jurucakap KDA, Ivar Simensen berkata, syarikat berkenaan beroperasi sepenuhnya mengikut rangka kerja perundangan yang ditetapkan oleh kerajaan Norway. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast