GEORGETOWN – Sebuah kapal korek bersama 17 kru warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dikesan membawa muatan pasir berlebihan di perairan Tanjung Tokong di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kapal itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang berlabuh kira-kira 1.0 batu nautika timur laut Tanjung Tokong pada jam 11.30 malam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan 17 kru warga Indonesia dan China berusia antara 32 hingga 52 tahun.
“Siasatan lanjut mendapati beberapa kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui pintu masuk diwartakan.

“Selain itu, kapal tersebut turut membawa muatan melebihi kapasiti selain terdapat individu yang tiada dalam senarai kru rasmi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Muhammad Suffi, ketika pemeriksaan dijalankan turut berlaku cubaan memberi suapan kepada penjawat awam serta cubaan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.
“Susulan itu, 10 kru ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Kita akan terus komited dalam penguatkuasaan undang-undang maritim demi kesejahteraan perairan negara,” katanya. – MalaysiaGazette















