[ARKIB] Pekerja menampal poster untuk pelanggan mengesahkan kelayakan menebus BUDI95 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sebuah stesen minyak sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Kuota petrol bersubsidi di bawah program BUDI95 mungkin diturunkan sekali lagi kepada 150 liter sebulan berbanding 300 liter semasa awal diperkenalkan pada 30 September tahun lepas dan 200 liter sejak 1 April lalu.

Keputusan itu adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata data penggunaan semasa juga menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan jauh lebih sedikit daripada paras kuota semasa.

“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter.

“Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter,” katanya semasa Persidangan Tinjauan Masa Hadapan Pasaran Affin, di sini hari ini.

Chin Tong berkata, usaha mengurangkan penggunaan bahan api dianggap penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar yang lebih terkawal.

Tambahnya, kerajaan perlu mencari langkah yang sesuai untuk melindungi rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan dengan lonjakan harga bahan api.

Jelas beliau, golongan pengguna motosikal misalnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.

Ini kerana kerajaan ketika ini kerajaan perlu menanggung beban subsidi bulanna yang melonjak hampir 10 kali ganda susulan peningkatan mendadak harga minyak mentah akibat konflik Asia Barat sejak akhir Februari.

Bagaimanapun katanya, langkah untuk mengurangkan kuota BUDI95 masih di peringkat semakan dan kerajaan akan terus memantau trend penggunaan domestik dan kestabilan harga minyak mentah dunia sebelum memuktamadkan sebarang keputusan bagi memastikan kebajikan golongan sasar kekal terpelihara. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN TERKINI

Kuota BUDI95: Ini penjelasan Liew Chin Tong

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast