Datuk Seri Mohamed Khaled selepas Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan tentera di Kem Batu 3, Kluang hari ini.

KLUANG – Malaysia hanya akan menilai pemerolehan baharu pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) menjelang 2030, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan semasa lawatan kerja beliau yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Rusia baru-baru ini.

“Ini memandangkan pesawat pejuang F/A-18 dan Sukhoi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka terus beroperasi sehingga sekitar 2035.

“Kementerian ketika ini sedang mengkaji teknologi ketenteraan terkini serta menilai aset yang sesuai berdasarkan doktrin pertahanan dan keperluan operasi negara.

“Pameran di Rusia memberi peluang kepada kita menilai dan membandingkan teknologi, namun kita tidak terburu-buru membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan tentera di Kem Batu 3 di sini hari ini.

Mohamed Khaled mengulas sama ada Malaysia berminat membeli pesawat pejuang Russia yang dipamerkan semasa lawatan ke negara tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, keupayaan teknologi lebih baik dimiliki pesawat FA 50 (Light Combat Air Craft) membolehkannya berupaya sebagai pesawat baharu menggantikan Hawk MK 108/208 Light Combat Aircraft yang diguna pakai sejak 1994.

Pesawat FA 50 buatan Korea Aerospace Industris (KAI) Korea Selatan yang direka untuk pelbagai misi termasuk serangan darat dan latihan lanjutan dijangka akan diterima secara berperingkat-peringkat menjelang hujung tahun ini.

Mohamed Khaled berkata, pesawat tersebut juga akan membantu pesawat F Sukhoi serta F/18 yang sedia ada dalam tugas pertahanan udara negara kerana teknologi lebih baik daripada Hawk.

Ujarnya, perkara utama yang perlu difikirkan adalah teknologi terkini dalam pelbagai jenis aset sama ada kapal terbang, meriam, peluru berpandu dan radar sebelum memutuskan satu-satu pembelian.

Ujarnya, walaupun sekarang pembelian F-18 daripada Kuwait dibatalkan atas sebab tertentu, dengan adanya FA 50 yang penghantaran akan bermula akhir tahun ini ia mencukupi bagi tujuan untuk menjaga pertahanan udara negara.

“Tapi kerana Sukhoi dan F18 akan tamat dalam tahun 2036, menjelang 2030 kita perlu lakukan pencarian kapal terbang baharu terutama pesawat multi role combat, jadi kita tidak mahu tergesa-gesa,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast