Tertuduh Amirul Mukhairi Azahari, 29, dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah mesin canai di pusat hemodialisis di Bacang, Melaka, 4 Mei lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah mesin canai di pusat hemodialisis di Bacang di sini, awal bulan ini.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Amirul Mukhairi Azahari, 29, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapari dengan niat curang telah mencuri sebuah mesin grinder milik Tan Ban Soon di dalam bangunan Pusat Haemodialisis Bacang Melaka, No. 421G, Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya, dalam Melaka Tengah kira-kira jam 12.24 tengah hari 4 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shauki Mardia Baharudin memohon hukuman berbentuk pencegahan kerana perbuatan melibatkan unsur niat dan bukannya barangan keperluan asas.

Pendakwaan turut memaklumkan kejadian dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) dan menjadi kepentingan awam supaya jenayah seumpama itu tidak berleluasa.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin kemudian dalam rayuannya memohon hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa dan hanya berpendapatan sekitar RM500 seminggu.

Lelaki itu juga sudah berkahwin, mempunyai seorang anak serta menanggung isteri dan ibunya berusia 61 tahun yang menghidap sakit buah pinggang dan semput.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan serta denda RM2,000 atau tambahan penjara dua bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast