Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil

KUALA LUMPUR – Serangan bertali arus terhadap Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung dakwaan pengubahan wang haram dilihat bukan sekadar isu biasa, sebaliknya dipercayai sebahagian daripada perang persepsi politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamaie Hamil berkata, rakyat tidak seharusnya mudah termakan propaganda dan serangan persepsi yang dimainkan pihak tertentu demi kepentingan kuasa politik.

“Rakyat perlu matang, pemimpin dan ahli politik tugas mereka nak cari kelemahan lawan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin terbaik yang Malaysia ada, malah terbaik di peringkat Asia, pemimpin dari parti-parti lain yang ada di Malaysia jauh tarafnya berbanding beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamaie berkata, rakyat perlu menilai sesuatu isu secara matang dan tidak terikut dengan serangan persepsi yang sengaja dimainkan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin.

Katanya, budaya serangan peribadi dalam politik bukan perkara baharu, malah sudah lama digunakan sebagai strategi untuk mempengaruhi pengundi dan membentuk persepsi negatif terhadap pihak lawan.

“Isu persepsi ini adalah isu biasa yang digunakan pada zaman Perdana Menteri terdahulu tetapi sebelum era Tun Abdullah Ahmad Badawi ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), jadi orang takut. Sekarang ini akta itu dimansuhkan.

“Jadi pendekatan politik matang harus digunakan oleh pengundi. Pemimpin dia tidak guna politik matang, sebab itu pemimpin akan cari apa sahaja kelemahan lawan untuk mempengaruhi pengundi.

“Politik matang itu ialah dapat menilai bahawa kalau pemimpin itu baik, maka kita harus menerimanya. Ini menjadi satu cabaran mana-mana pemimpin masa depan kerana rakyat itu harus dimatangkan, bukan pemimpin itu kerana pemimpin itu kerjanya untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Awal bulan ini, Farhash tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan bilion ringgit ke luar negara dan pemilikan kewarganegaraan asing.

Menurut Farhash, dakwaan tersebut tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan mencemarkan reputasi serta integritinya selain memberi kesan kepada kehidupan peribadi dan menyifatkannya sebagai fitnah jahat yang bertujuan meraih kepentingan politik.

Penafian itu dibuat susulan laporan beberapa portal berita yang memetik kandungan rakaman video didakwa melibatkan perbualan dua individu dikenali sebagai Sofia Rini dan Albert Tei Jiann Cheing. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast