Gambar : Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Bentong, Bentong dengan peruntukan berjumlah RM227 juta dijangka siap empat tahun lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan antara 18 projek RTB yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.184 bilion.

“Projek ini dijangka siap pada bulan November 2029 sekiranya semua berjalan dengan lancar.

“Apabila kita buat tebatan banjir ini, sudah tentu kita dapat mendalamkan sungai dan air dapat lalu dengan laju.

“Selain itu kita akan membina ban banjir, di mana kita perkukuh tebing-tebing sungai dan dalam masa sama kita boleh naikkan empangan di Repas baru, Repas Lama, Perting dan Kelau,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan V.V. Arumugam  (BN-Sabai) pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 tahun 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

V.V. Arumugam bertanya mengenai perkembangan dan pelaksanaan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri, khususnya di Sungai Bentong serta manfaat kepada masyarakat susulan siap projek terbabit kelak.

“Saya yakin projek RTB in dapat mengurangkan risiko banjir di negeri Pahang dan saya yakin dengan adanya projek RTB di Sungai Bentong ini akan mengurangkan risiko banjir di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jelai memaklumkan daripada keseluruhan projek RTB dan ban banjir yang diluluskan di seluruh negeri ini, 11 projek RTB direkodkan telah bermula secara fizikal di tapak projek manakala enam projek RTB masih dalam proses reka bentuk.

“Satu projek lagi iaitu pembinaan Ban Banjir di Tanjung Gahai di daerah Lipis baru sahaja diluluskan dalam Rolling Plan Pertama (RP1), RMKe-13 dengan peruntukan membabitkan kos sebanyak RM14.6 juta,” tambahnya.

Beliau berkata, terdapat enam projek RTB yang telah siap di beberapa daerah yang terbukti berjaya mengurangkan risiko kejadian banjir besar daripada berlaku.

“Seperti di bandar Maran (Fasa pertama); Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kuantan (Fasa Kedua); RTB Lembah Bertam, Cameron Highlands dan RTB bandar Pekan (Fasa 2).

“Kita tak dengar dah kejadian banjir sejak ada RTB ini di bandar Pekan. Selain itu, setelah siap RTB di kawasan Sungai Isap pada 2011, kita dapati ia telah berjaya mengurangkan risiko banjir di situ. Tiada lagi banjir besar berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast