Mohamed Khaled Nordin pada majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan tentera di Kem Batu 3 di sini, hari ini.

KLUANG – UMNO terbuka dan tidak memilih dalam menerima mana-mana bekas ahli atau pemimpin politik untuk menyertai Rumah Bangsa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak boleh menyertai Rumah Bangsa termasuk yang dipecat daripada parti lain.

“Kita terbuka untuk terima siapa sahaja kerana rumah kita Rumah Bangsa, maknanya rumah kita itu besar. Kita terima sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani Angkatan tentera di Kem Batu 3 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa mengulas sama ada Rumah Bangsa akan menerima kemasukan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digantung keahliannya semalam.

Dalam satu notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan tindakan itu selepas beliau didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Dengan penggantungan itu, maka YB secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” menurut notis dikeluarkan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast