KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati kerana dijeling dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibelasah sekumpulan individu ketika makan di sebuah restoran di Kepong di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak polis sedang menjalankan tindakan lanjut.
“Pergaduhan berpunca akibat mangsa yang sedang makan di restoran berkenaan jeling (memandang) ke arah suspek.
“Suspek yang sedang mabuk tidak berpuas hati kerana dijeling sebelum terus menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Basri, suspek kini telah ditahan dan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga individu menyerang seorang lelaki sehingga cedera di restoran terbabit. – MalaysiaGazette
















