Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada jaminan bekalan tenaga dan barangan keperluan, di samping melaksanakan sebarang penyesuaian dasar secara berhati-hati, bersasar dan sementara bagi melindungi rakyat daripada tekanan harga global yang semakin meningkat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan pandangan Bank Dunia bahawa tekanan global ketika ini berlaku secara berlapis melibatkan kenaikan harga minyak, baja dan makanan yang saling berkait antara satu sama lain.

Menurut beliau, penilaian Bank Dunia menunjukkan tekanan harga masih tertumpu kepada komoditi utama yang memberi kesan limpahan terhadap kos pengeluaran serta kos sara hidup rakyat.

“Sehubungan itu, tindak balas dasar perlu mengambil kira kesan langsung kepada rakyat selain kesan rantaian terhadap perniagaan dan bekalan,” katanya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global menerusi Facebook hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, Bank Dunia turut menggariskan empat keutamaan kepada Malaysia iaitu menjamin bekalan tenaga, memperkukuh ruang fiskal, mengurus permintaan tenaga serta menyalurkan sokongan bersasar kepada isi rumah dan perniagaan yang benar-benar terkesan.

Jelasnya, pendekatan itu juga menekankan kepentingan memastikan kelancaran bekalan barangan kritikal dan pembiayaan rantaian bekalan terutama kepada firma yang terdedah kepada tekanan semasa.

Menurut Akmal Nasrullah, cadangan dikemukakan World Bank itu disambut baik dan selari dengan pelbagai inisiatif kerajaan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, fokus kerajaan adalah untuk menjamin bekalan, memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada serta mengekang tekanan harga dalam pasaran.

“Usaha sedang dibuat bagi menyelaras kawalan eksport bahan api tertentu, jaminan bekalan barangan keperluan, pengurusan kuota pembelian, penjimatan tenaga serta kerjasama rapat dengan pihak industri,” jelasnya.

Beliau berkata, MTEN juga akan terus mengemas kini status bekalan tenaga dan bahan api dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan domestik terus diberi keutamaan.

Tambahnya, langkah itu penting bagi meningkatkan keyakinan industri terhadap kelangsungan operasi serta kesinambungan aktiviti ekonomi negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast