Abdul Razak Abdul Rahman

MELAKA – UMNO Bahagian Kota Melaka memberi amaran kepada DAP supaya tidak membina persepsi kononnya parti itu kini semakin diterima masyarakat Melayu sehingga cuba dilihat sebagai ‘juara Melayu’.

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia susulan kenyataan berhubung penubuhan cawangan DAP pertama di Kampung Padang Temu yang diangkat sebagai satu ‘sejarah besar’ di kawasan majoriti Melayu.

Menurut beliau, penyertaan beberapa individu Melayu dalam cawangan berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran bahawa keseluruhan masyarakat Melayu menerima perjuangan dan ideologi DAP.

“Hakikatnya, penyertaan beberapa individu Melayu ini adalah mereka yang kecewa lalu menutup cawangan Parti Amanah Negara dan hanya salin kulit ke dalam parti DAP.

“Ini sama sekali tidak boleh dijadikan ukuran bahawa keseluruhan orang Melayu telah menerima sepenuhnya ideologi dan perjuangan DAP,” katanya melalui hantaran di Facebook di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, masyarakat Melayu di negara ini sememangnya terbuka kepada demokrasi dan perbezaan pandangan politik.

Namun tegasnya, keterbukaan itu tidak seharusnya dimanipulasi bagi membina persepsi bahawa DAP kini menjadi ‘juara Melayu’.

“Sedangkan rekod dan pendirian banyak pimpinan mereka (DAP) sebelum ini sering menimbulkan keresahan terhadap perkara-perkara berkaitan kedudukan Islam, hak Melayu Bumiputera, bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

“DAP tidak wajar menggunakan angka keahlian atau sentimen ‘penerimaan Melayu’ sebagai propaganda politik untuk menutup kegagalan mereka menangani isu kos sara hidup, ekonomi rakyat serta keresahan masyarakat terhadap masa depan negara,” katanya.

Abdul Razak berkata, khidmat kepada rakyat bukanlah sesuatu yang baharu atau eksklusif kepada mana-mana parti kerana UMNO telah lama berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“UMNO Bahagian Kota Melaka akan terus istiqamah mempertahankan agenda Melayu dan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan di samping memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum secara sederhana dan harmoni.

“Orang Melaka khususnya di Kota Melaka dan Telok Mas tidak mudah terpedaya dengan naratif politik yang cuba mengaburkan identiti serta prinsip perjuangan sebenar sesuatu parti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast