Antara 74 PATI ditahan Imigresen dalam serbuan di sekitar Puchong, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR – Taktik berselindung di sebalik lesen perniagaan tempatan dan menggaji warga asing secara haram bagi mengaut keuntungan menjadi modus operandi yang dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sekitar Puchong dekat sini semalam.

Operasi berskala besar bermula pukul 11 pagi hingga 8 malam itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, JIM Putrajaya berdasarkan aduan awam dan risikan selama seminggu berhubung aktiviti warga asing dipercayai bekerja secara tidak sah dalam sektor perkhidmatan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, ia merangkumi restoran, premis makanan, kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai dobi, kiosk perniagaan serta sebuah pasaraya besar.

“Seramai 59 pegawai JIM telah diatur gerak ke beberapa lokasi tumpuan di sekitar Puchong dengan pemeriksaan dijalankan ke atas 30 premis, 186 warga asing dan 175 warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 74 warga asing terdiri dari warga Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, India, Pakistan dan China berumur di antara 23 hingga 45 tahun telah ditahan.

“Mereka dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara 74 PATI ditahan Imigresen dalam serbuan di sekitar Puchong, Selangor, semalam.

Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan lima Borang 29 Saman kepada saksi kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Kita mengesan terdapat segelintir PATI semakin berani mencabar kewibawaan penguatkuasaan dengan membuat provokasi. Selain enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan, ada cuba melarikan diri serta menggunakan pelbagai helah untuk mengaburi tindakan penguatkuasaan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara malah boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat setempat” jelasnya.

Beliau memaklumkan, kesemua warga asing terbabit telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast