Datuk Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada Datuk Nik Zawawi Salleh susulan kontroversi kenyataan yang menyentuh mengenai sahabat Nabi Muhammad SAW.

Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, ia supaya Ahli Parlimen Pasir Puteh berkenaan lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para sahabat Rasulullah SAW.

Dalam masa sama, katanya, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.

“Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.

“DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, kata Mohd Nor, setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para sahabat Rasulullah SAW, khususnya Saidina Abu Bakar RA; Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam.

“DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.

“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih,” katanya.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan umat Islam merentasi ideologi politik yang turut menggesa Nik Muhammad Zawawi bertaubat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast