Bantahan PH sebelum ini berhubung isu ADUN lantikan di Johor.

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyifatkan pendirian pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam isu lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini seperti `cakap tidak serupa bikin’.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, beliau percaya nada pemimpin PH akan berlainan sekiranya lima ADUN lantikan tersebut dipilih daripada wakil mereka.

“Di Pahang ada dua ADUN lantikan yang mewakili PH. Seorang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), seorang dari Parti Amanah Negara (Amanah) manakala di Sabah, Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, dilantik sebagai ADUN lantikan.

“Alih-alih, bila Johor nak perkenalkan ADUN lantikan, melalak-lalak pimpinan PH Johor tak setuju. Seolah-olah PH di Johor ni berbeza pendirian dengan PH di Pahang mahupun Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau secara sinis berkata, pemimpin PH terbabit sudah tentu menyokong ADUN lantikan tersebut jika Menteri Besar Johor memilih pemimpin PH.

“Cubalah kalau Menteri Besar Johor beri jaminan pada PH Johor akan dapat jawatan ADUN lantikan itu. PKR Johor dapat satu, Amanah dapat satu dan DAP dapat satu.

“Mesti nada dan pendiriannya berbeza tak? Inilah bukti politik pilih bulu PH. Cakap tak serupa bikin,” dakwanya.

Sabtu lalu Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, PH tidak bersetuju dan berharap kerajaan Johor menimbangkan semula kelulusan lima ADUN lantikan yang didakwa tidak demokratik dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Kor Ming berkata, PH membantah keputusan tersebut yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara.

Jelas beliau, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem negara demokrasi berparlimen.

Khamis lalu DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, tujuannya juga untuk memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.

Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast