KUALA LUMPUR – Tindakan seorang warga China sengaja menggaji pekerja senegaranya tanpa permit sah dikesan dalam serbuan di sebuah kilang pengubahsuaian dan pembekal kusyen kereta di Seri Kembangan dekat sini semalam.
Operasi bermula 12.30 tengah hari itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya selepas risikan selama seminggu dilakukan ke atas premis yang dimiliki dan diuruskan majikan warga China.

“Seramai 16 warga asing termasuk majikan warga China dan Myanmar berumur di antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kita turut mengeluarkan tiga Borang 29 saman kepada saksi warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua mereka telah dibawa dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalah gunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















