KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan dalam operasi Ops Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sekitar Kampung Tinusa 2, Batu 7 dan Taman Rajawali, Batu 7, semalam.
Operasi yang dilaksanakan antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang itu turut membawa kepada penemuan kesalahan berkaitan dadah melibatkan kedua-dua suspek.
Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George B. Abd Rakman, seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah berbahaya, manakala seorang lagi ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 selepas keputusan ujian tersebut diperoleh.
Kedua-dua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















