KLUANG – Sindiket perjudian haram di daerah ini dikesan berselindung di sebalik premis perniagaan sah seperti kedai runcit, kedai telekomunikasi dan kedai haiwan peliharaan bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang itu.
Taktik itu bagaimanapun berjaya dihidu hasil serbuan pihak polis ke atas enam premis perniagaan di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama-sama unit penguatkuasa Syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan serbuan dan pemotongan bekalan eletrik.
Jelasnya, serbuan secara bersepadu itu dilakukan hasil perisikan serta aduan awam.
“Operasi pemotongan bekalan itu dilakukan selaras dengan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 keatas mana-mana premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.
“Sejumlah enam premis dikenakan tindakan, namun kita percaya lebih banyak lagi kedai akan turut diambil tindakan sekiranya masih ada yang berdegil untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi seperti itu bertujuan membendung orang ramai serta premis-premis daripada terlibat dalam perjudian loteri awam haram atau kegiatan menyalahi undang-undang di daerah ini.
Katanya, walaupun pihak terbabit menjalankan aktiviti jualan seperti kedai runcit, alat-alat komunikasi termasuk tambah nilai kredit dan menjual barang-barang makanan serta haiwan peliharaan, aktiviti ahram itu tidak dapat lari daripada dikesan pihaknya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tidak bermoral ini boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.- MalaysiaGazette















