Steven Sim Chee Keong.

BUKIT MERTAJAM – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menyalurkan insentif berjumlah RM237,000 kepada 370 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada sembilan sekolah di kawasan Bukit Mertajam.

Beliau merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pencapaian 370 pelajar yang memperoleh keputusan 8A dan ke atas dalam peperiksaan SPM tahun 2025 amat membanggakan serta menunjukkan tahap pendidikan di kawasan itu semakin meningkat.

Katanya, kejayaan yang diraih pelajar bukan hanya milik mereka sendiri, malah turut dikongsi bersama ibu bapa, ahli keluarga dan guru yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan mereka.

“Apabila anak-anak berdepan peperiksaan, tekanan dan cabaran hidup, sokongan keluarga selalunya menjadi kekuatan utama yang membantu mereka terus bertahan.

“Daripada jumlah penerima, seramai 106 pelajar yang memperoleh 8A menerima insentif RM500 setiap seorang, manakala 141 pelajar yang memperoleh 9A menerima RM600.

“Selain itu, 118 pelajar yang memperoleh 10A menerima RM800 setiap seorang, manakala lima pelajar yang memperoleh 11A menerima RM1,000 setiap seorang,” katanya.

Majlis penyerahan insentif itu diadakan di SMJK Jit Sin dan dihadiri lebih 500 pelajar, guru serta ibu bapa.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang, Daniel Gooi serta Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, Linda Ng dan Yoganraj Thever.

Dalam pada itu, Steven Sim turut merakamkan penghargaan kepada guru atas peranan penting mereka dalam mendidik pelajar sehingga berjaya mencapai kecemerlangan.

“Semua pemimpin hebat di dunia bermula daripada seorang guru yang sabar mengajar mereka membaca dan menulis. Tanpa guru, tiadalah bakat masa depan untuk negara.

“Keputusan SPM merupakan satu permulaan baharu dan menggalakkan pelajar menjadi individu yang baik hati, bertanggungjawab serta sanggup menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa depan.

“Saya menyeru syarikat korporat dan institusi kewangan supaya terus menyalurkan sokongan serta sumber kepada pembangunan pendidikan demi membuka lebih banyak peluang dan masa depan lebih cerah kepada golongan muda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast