KUALA LUMPUR – “Apabila Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay membawa agenda mengurangkan ketagihan alkohol, ia diraikan sebagai reformasi sosial tetapi ironinya apabila Pas memperjuangkan perkara sama sejak sekian lama, ia sering dilabel secara negatif melalui persepsi politik sempit”.
Demikian tegas Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan ketika mengulas tindakan kerajaan Tamil Nadu menutup ratusan premis TASMAC (Tamil Nadu State Marketing Corporation) berhampiran sekolah, rumah ibadat dan kawasan awam sensitif.
Menurutnya, langkah penutupan premis arak itu wajar dipuji kerana memperlihatkan keberanian politik dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding keuntungan semata-mata.
Katanya, persoalan yang timbul hari ini ialah berapa ramai ahli politik di negara ini benar-benar berani mengambil langkah tegas sama demi melindungi masyarakat daripada kerosakan sosial akibat alkohol.
“Ramai bercakap soal reformasi sosial tetapi apabila melibatkan kepentingan ekonomi dan tekanan politik, tidak ramai sanggup mengambil keputusan sukar demi rakyat.
“Sedangkan isu ketagihan alkohol dan kesan sosialnya semakin membimbangkan termasuk di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, kebelakangan ini negara dikejutkan dengan pelbagai kes kemalangan maut berpunca daripada kecuaian pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa orang tidak bersalah.
Menurutnya, terdapat juga kes tertentu yang akhirnya membawa kepada pertuduhan lebih berat termasuk di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melibatkan kehilangan nyawa.
“Hakikatnya, kesan alkohol bukan lagi isu peribadi semata-mata kerana ia memberi implikasi besar kepada keselamatan awam, institusi keluarga dan masa depan generasi muda.
“Tiada agama di dunia ini yang mengangkat alkoholisme sebagai simbol kemajuan masyarakat. Semua agama mengajar disiplin, tanggungjawab moral dan kesejahteraan hidup bermasyarakat,” tegasnya.
Balachandran berkata, Pas sejak dahulu konsisten membawa agenda memperkukuhkan moral masyarakat, mempertahankan institusi keluarga dan membendung masalah sosial berpunca daripada ketagihan alkohol, perjudian serta penyalahgunaan bahan terlarang.
Menurutnya, apa yang berlaku di Tamil Nadu membuktikan bahawa usaha mengurangkan kemudaratan alkohol bukan satu bentuk ekstremisme sebaliknya isu kemanusiaan dan masa depan negara.
“Malaysia memerlukan keberanian politik untuk bercakap secara jujur mengenai isu moral dan sosial tanpa takut kepada tekanan persepsi atau permainan politik semata-mata.
“Jika masyarakat boleh menerima langkah sedemikian apabila dibawa tokoh tertentu, mengapa prinsip sama terus dipersoalkan apabila diperjuangkan Pas,”soalnya. – MalaysiaGazette















