Fahmi Zainol hadir ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dengan ditemani isterinya serta peguam Shamsher Singh. - Gambar fail

BALIK PULAU – Peguam mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang berdepan pertuduhan mencederakan isterinya, memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi baharu kepada pihak pendakwaan bagi menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Dr. Shamsher Singh Thind berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima dokumen lengkap berkaitan kes daripada pihak pendakwaan.

Menurutnya, pihak pembelaan turut memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi mendengar keputusan berhubung representasi berkenaan.

“Kami baru menerima semua dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan dan mengemukakan satu lagi representasi supaya pertuduhan terhadap anak guam saya digugurkan.

“Kami juga meminta mahkamah menetapkan satu tarikh untuk keputusan representasi tersebut.

“Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 18 Ogos depan,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya representasi itu diterima pihak pendakwaan, mereka akan memohon satu tarikh lebih awal bagi menggugurkan kes tersebut.

Pada 28 April lalu, Majistret Chia Huey Ting menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan selain menetapkan hari ini untuk penyerahan dokumen berkaitan kes.

Media pada 27 Februari lalu melaporkan, Fahmi mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, manakala mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast