KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir enggan mengulas tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang akan mengumumkan hala tuju politiknya hujung minggu ini.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi mengambil pendirian itu kerana menghormati majlis kementerian yang dihadirinya hari ini.
“Tak payahlah, sekarang (majlis) World Bank. Saya punya pandangan saya perlu hormat majlis hari ini mengenai ekonomi.
“Jika awak benarkan saya buat tugas saya, menguruskan ekonomi, terima kasih.
“Biar saya tumpu kepada ekonomi,” katanya ketika ditemui media Malaysia Economic Monitor di Asia School Of Business di sini hari ini.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang sebelum ini dikaitkan antara pemimpin kem Rafizi tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru tahun lalu.
Namun, beliau berjaya mengekalkan tempat dalam kepimpinan pusat parti itu selepas memperoleh 4,455 undi untuk jawatan Ahli MPP bagi penggal 2025 hingga 2028.
Sebelum menyertai arena politik, Akmal Nasrullah pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang peranan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Beliau juga pernah menyertai INVOKE sebagai Ketua Pegawai Penyelidik selain bergandingan bersama Rafizi sebagai pengasas bersama serta memegang jawatan pengarah di National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW).
Semalam, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan hala tuju politik baharu mereka pada Ahad ini.
Menurut Rafizi, tempoh setahun yang lalu telah memberi ruang kepada beliau dan Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa untuk mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor untuk memutuskan hala tuju politik yang seterusnya.
Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai lalu selepas mereka tewas pada PKR 2025 tahun lepas.
Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden. – MalaysiaGazette
















