KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis kokain seberat 3.3 kilogram (kg) bernilai anggaran RM1.48 juta di Balai Ketibaan Terminal 1, KLIA pada Ahad lalu.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 8 malam terhadap seorang penumpang lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun yang tiba dari Freetown, Sierra Leone melalui beberapa negara transit sebelum tiba di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pemeriksaan oleh pegawai AKPS dan Kastam menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan pada sebuah beg tangan dan bagasi milik suspek.
“Pemeriksaan lanjut menemukan tujuh paket disyaki kokain yang disorokkan pada lapisan dalam beg tangan serta bahagian sisi bagasi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua barang rampasan diserahkan kepada Unit Penguatkuasaan KLIA untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, AKPS akan terus mempertingkat kawalan dan pemantauan di pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah serta memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette















