KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Pemerkasaan Usahawan Mikro Negeri Terengganu iaitu sebuah program pembangunan keusahawanan menyeluruh dengan sokongan peruntukan berjumlah RM20 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Inisiatif itu menyasarkan 600 usahawan mikro di Terengganu, terutamanya mereka yang sukar atau kurang mendapat akses perkhidmatan perbankan.
Sejak tahun 2007, BSN telah menyalurkan pembiayaan melebihi RM5.2 bilion kepada lebih daripada 175,000 usahawan di seluruh negara.
Pencapaian itu, jelasnya, mencerminkan komitmen BSN sebagai institusi kewangan pembangunan dalam memperkasa segmen akar umbi dan sektor tidak formal.
Di samping memberi sokongan pembiayaan, BSN turut melaksanakan program kolaboratif keusahawanan sejak tahun 2022 yang telah menyumbang kepada transformasi lebih 5,000 usahawan, mewujudkan lebih 18,000 peluang pekerjaan serta meningkatkan prestasi jualan ribuan perniagaan mikro.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, pemerkasaan usahawan yang berkesan bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan pembiayaan perniagaan, malah perlu disokong menerusi bimbingan, jaringan dan akses kepada peluang pertumbuhan yang lebih luas.

“Di BSN, kami percaya bahawa keusahawanan yang mampan memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pembangunan ilmu dan kemahiran keusahawanan, pengurusan kewangan yang berdisiplin, kesiapsiagaan digital, serta sokongan ekosistem melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.”
“Peranan kerajaan dan agensi berkaitan amat penting dalam memastikan kelangsungan dan pemerkasaan usahawan mikro secara berterusan.
“Sokongan yang holistik merangkumi dasar, pembiayaan, latihan, pendigitalan serta bimbingan adalah pemangkin utama kepada keupayaan usahawan mikro untuk berkembang dan kekal berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jay Khairil turut menambah bahawa inisiatif tersebut merupakan sokongan daripada kerajaan untuk membantu usahawan mikro mendepani cabaran ekonomi semasa.
Katanya, ini bagi membolehkan golongan itu terus bertahan, diperkasakan dan kekal berdaya saing dalam jangka panjang.
Inisiatif Pemerkasaan Usahawan Mikro Negeri Terengganu itu memberi tumpuan kepada empat sektor utama iaitu kraftangan, pelancongan, pembuatan makanan serta makanan dan minuman, dengan penekanan kepada golongan belia, graduan TVET, syarikat permulaan, perniagaan tidak formal dan usahawan yang masih belum mempunyai akses kepada pembiayaan.
Peserta program dibahagikan kepada dua kluster iaitu Komuniti Tunas bagi usahawan peringkat awal dan Komuniti Mekar bagi perusahaan mikro yang bersedia untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Ini bagi memastikan intervensi yang tepat mengikut tahap kematangan perniagaan masing-masing.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), agensi peringkat negeri, persatuan usahawan serta rakan strategik termasuk Unifi, SSM, AKPK, MesinKira, PruBSN dan pihak berkepentingan lain.
Keberhasilan inisiatif akan dipantau melalui penilaian impak berstruktur merangkumi prestasi perniagaan, pertumbuhan jualan, penerapan teknologi digital, penciptaan pekerjaan serta tahap kelestarian keseluruhan. – MalaysiaGazette















