Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Selangor mengesahkan akan turut hadir ke Himpunan Daulat Tuanku yang akan diadakan di Shah Alam pada 16 Mei ini.

Menerusi satu kenyataan, Pemuda UMNO Selangor berkata, isu-isu yang berkepentingan melibatkan kesucian agama Islam, kdaulatan institusi raja, ketuanan bangsa Melayu dan perpaduan nasional adalah perkara yang menjadi asas kerukunan Rakyat Malaysia.

“Kehadiran kami adalah bagi menyatakan tekad, taat dan setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan pelbagai isu yang menyentuh kedaulatan institusi diRaja Selangor mutakhir ini.

“Ia menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia melangkaui perbezaan ideologi politik dan kepelbagaian organisasi,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Selangor turut menarik perhatian mengenai polemik berterusan berkenaan Titah Sultan Selangor, penghinaan terbuka di laman media sosial serta tindakan pihak tertentu yang seolah-olah menyanggah titah Baginda sehingga ingin merujuk pertikaian tersebut ke Mahkamah.

“Satu seruan telah dibuat kepada seluruh barisan kepimpinan dan ahli-ahli Pemuda UMNO Selangor daripada 22 bahagian untuk bersama-sama hadir ke perhimpunan tersebut sebagai tanda solidariti dan taat setia mutlak.

“Seluruh rakyat Negeri Selangor juga diharapkan dapat bangkit menyatakan tekad dan hadir dalam Himpunan Daulat Tuanku dengan penuh tertib serta mematuhi arahan-arahan pihak penganjur,” kata kenyataan itu lagi.

Himpunan Daulat Tuanku yang dianjurkan Pas Selangor bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan sebagai tanda solidariti mempertahankan institusi diraja susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Himpunan itu diadakan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan Institusi Diraja di negeri berkenaan.

Ia bertujuan untuk menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan Institusi Diraja di Negeri Selangor.

Satu memorandum taat setia rakyat juga akan diserahkan ke Istana Kayangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast