KEPIMPINAN PKR Bera ketika membuat laporan polis hari ini.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bera dan Wanita Keadilan Bera hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh melibatkan isu sahabat Nabi Muhammad SAW.

Menurut Timbalan Ketua PKR Cabang Bera, Md Zain Ali, kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu seperti yang tular disifatkan menyentuh sensitiviti serta boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, walaupun Muhammad Zawawi telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, namun PKR Cabang Bera berpandangan proses siasatan tetap perlu diteruskan.

Kata beliau, ia bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan penilaian secara adil dan profesional mengikut lunas undang-undang negara.

“Permohonan maaf sememangnya penting sebagai tanda mengakui kesilapan, namun ia tidak seharusnya menutup ruang kepada proses siasatan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.

“Kita menghormati permohonan maaf yang dibuat, namun dalam masa yang sama prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan.

“Tiada mana-mana individu yang melebihi undang-undang,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera hari ini.

Sementara itu, katanya, PKR Cabang Bera; AMK Bera dan Wanita Keadilan Bera turut menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta perpaduan negara.

Ujarnya, laporan polis tersebut dibuat bagi memastikan perkara itu disiasat secara telus dan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya terdapat asas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, tular petikan ucapan Nik Muhammad Zawawi yang menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.

Bekas Ketua Dewan Ulamak Pas itu menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.

Kenyataan itu mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin Pas sendiri yang menggesa Nik Muhammad Zawawi supaya bertaubat.

Susulan itu, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau selain mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast