KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad supaya berterus terang sekiranya mereka benar-benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju PKR.
Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan tidak seharusnya terus bermain `tarik tali politik’ sambil mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing serta mempengaruhi penyokong dalam parti.
“Kalau benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju parti, maka Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sepatutnya berterus terang kepada anggota dan rakyat.
“Jangan terus bermain tarik tali politik sambil mengekalkan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa dan juga terus mempengaruhi penyokong beliau yang ada di dalam PKR,” katanya.
Menurut Dzul Hilmi, PKR dibina atas semangat perjuangan dan bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik adu domba.
Katanya, anggota di peringkat akar umbi bekerja siang malam mempertahankan kerusi Parlimen dan DUN walaupun ketika berdepan kesukaran, justeru kepimpinan perlu menunjukkan komitmen yang jelas terhadap parti.
“PKR dibina atas semangat perjuangan, bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik mengadu domba.
“Anggota di bawah bekerja siang malam mempertahankan kerusi setiap Parlimen mahu pun DUN waima ketika susah, bukan untuk melihat pimpinan beragenda peribadi menghantar isyarat yang mengelirukan kepada akar umbi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, sekiranya tidak lagi bersama perjuangan parti, langkah paling wajar ialah keluar secara terhormat dan mengumumkan pendirian dengan jelas kepada anggota serta rakyat.
“Jangan biarkan anggota terus tertanya-tanya dan parti terus dibebankan dengan polemik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Tambahnya, politik matang memerlukan kejujuran dan ketelusan, bukannya sindiran atau polemik berpanjangan yang hanya merugikan parti serta penyokong.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan akan menjelaskan mengenai hala tuju politik baharu mereka pada Ahad ini.
Rafizi dalam kenyataan di laman Facebook berkata, tempoh setahun lalu telah memberi ruang kepada mereka untuk menilai pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum memutuskan hala tuju politik seterusnya.
Kedua-dua mereka mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai tahun lalu selepas mereka tewas dalam Pemilihan PKR 2025.
Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden. – MalaysiaGazette
















