KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguh dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) di Sabah sehingga memperoleh persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa-kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bagi menjamin perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan (constitutional safeguard) mengenai negeri Sabah sentiasa terpelihara.
Terdahulu, menurut beliau, Kerajaan Negeri Sabah melalui Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti berhubung pelaksanaan AKPS di Sabah itu yang mana terdapat elemen penghakisan kuasa-kuasa serta hak keistemewaan imigresen Sabah melalui sifat perundangan dan pengoperasian imigresen.
Jelasnjya, pelaksanaan AKPS itu akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung (direct) ke atas AKPS, tetapi hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860].
Selain itu, jelasnya, Kerajaan Negeri Sabah turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Negeri Sabah.
“Perlu ditegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable) kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
















