KUALA LUMPUR – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata terhadap seorang pelanggan di sebuah restoran di Kepong minggu lalu.
Tertuduh, Wong Weng Luen; Lai Kae Bin dan Wan Ken Fei yang berusia antara 29 hingga 48 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Andrew Teh, 47, menggunakan senjata atau cara berbahaya di Restoran Hing Kee Bakuteh di Jalan Kepong kira-kira pukul 2 pagi, pada 7 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam bela, S. Narasimhan memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan walaupun kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Katanya, walaupun kes berkenaan tular di media sosial, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan jaminan terhadap tertuduh.
Beliau turut berhujah bahawa ketiga-tiga tertuduh tidak akan melarikan diri atau mengganggu saksi, selain bersedia mematuhi syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis sehingga kes selesai.
Menurutnya, ketiga-tiga lelaki yang bekerja sebagai tukang kayu, juruelektrik dan pekerja rumah pengurusan jenazah itu juga memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
“Mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas video kejadian tular dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya.
Beliau juga membangkitkan isu kesesakan di Penjara Sungai Buloh yang kini menempatkan kira-kira 6,000 banduan walaupun kapasiti sebenar hanya sekitar 2,500 orang.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal membantah permohonan jaminan atas alasan kesalahan itu serius, selain wujud risiko tertuduh melarikan diri serta kemungkinan mengganggu atau mempengaruhi saksi.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan yang dikemukakan dan menetapkan 15 Jun depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette















