Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Keputusan Kabinet membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mencetuskan persoalan berkenaan kedudukan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merupakan dokumen rasmi pendidikan negara.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah dokumen dasar yang menjadi bukti kewujudan sebuah sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

Sehubungan itu, ujarnya, semua dasar pendidikan negara yang terkandung di dalam dokumen tersebut sepatutnya dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia.

“Saya sekadar mahu bertanya, bolehkah hari ini kita bersetuju dengan keputusan mengiktiraf UEC (walaupun sebahagian) sedangkan dokumen RASMI Dasar Pendidikan Kebangsaan sendiri menyatakan secara jelas TIDAK MENGIKTIRAF UEC?

“Mana satu yang kita patut ikut?” katanya menerusi Facebook hari ini.

Ironinya, tambah Anuar, pengumuman berkenaan pengiktirafan itu berlaku menjelang sambutan Hari Guru esok.

“Bolehkah kalau saya usulkan hari ini, 15 Mei 2026 adalah tarikh rasmi terkuburnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan? Saya hanya mampu bertanya dan mengusulkan.

“Lagi pun, saya peduli apa kalau dasar pendidikan kebangsaan yang sudah tidak dihormati ini ‘terkubur’. Biar sajalah ia terkubur. Ibarat kata orang tua, ‘daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah’.

“Sekurang-kurangnya tarikh ‘matinya’ akan diingati oleh generasi akan datang. Setiap 15 Mei. Sehari sebelum sambutan Hari Guru -16 Mei,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast