KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi merekodkan secara rasmi bantahan tegas Malaysia terhadap permohonan pengampunan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atas jenayah beliau berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM52 bilion.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, campur tangan peribadi Anwar akan menghantar mesej yang kuat dan membuktikan komitmen berterusan beliau untuk memastikan semua pelaku skandal 1MDB membayar atas jenayah mereka serta membuat bayaran balik sepenuhnya terhadap dana yang dicuri, yang merupakan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.

Menurutnya, sejak skandal 1MDB tercetus, Anwar bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah menuntut tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dan akauntabiliti penuh terhadap dana yang dicuri.
Kini, ujar beliau, apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau tidak boleh mengabaikan janji tersebut untuk bertindak.
“Tidak boleh ada sebarang kekurangan dari segi kesungguhan atau komitmen untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB tidak terlepas dengan hasil rompakan mereka atau hukuman yang sewajarnya melalui pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Guan Eng, Jho Low telah didakwa pada tahun 2018 tetapi berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap.
Dakwanya, Jho Low dituduh sebagai dalang kepada skim yang menyeleweng sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB bersama dua pegawai bank nakal daripada Goldman Sachs.
Jho Low juga, katanya, didakwa telah membayar kira-kira AS$2 bilion dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan.
Malah, dakwa beliau, pegawai United States Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa bahawa AS$1 bilion dalam bentuk sogokan telah dibayar kepada peserta skim tersebut, dengan Jho Low sendiri memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion.
“Sehingga kini, Jho Low masih gagal dikesan. Adalah sama sekali tidak boleh diterima untuk beliau diberikan pengampunan selepas berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia dan AS,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Guan Eng, Anwar mesti memaklumkan kepada Trump mengenai kesan serius terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia dan usaha antarabangsa memerangi amalan rasuah sekiranya pengampunan diberikan kepada Jho Low.
Sebelum ini, akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Jho Low, dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.
Permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Taek Jho Low.
Menurut laporan itu, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai `Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman’ (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.
Bagaimanapun, seorang pegawai di Rumah Putih memaklumkan kepada WSJ bahawa permohonan pengampunan Jho Low itu buat masa ini belum berada di bawah radar atau menjadi perhatian pihak Rumah Putih. – MalaysiaGazette
















