KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan cadangan supaya jasa parti politik dimasukkan ke dalam silibus mata pelajaran sejarah sebagai tindakan tidak sensitif, tidak matang dan berunsur propaganda politik yang boleh mencemarkan objektif sistem pendidikan negara.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, pihaknya memandang serius sebarang usaha menjadikan subjek sejarah sebagai alat membina naratif politik kepartian sehingga menjejaskan matlamat asal pendidikan sejarah di negara ini.
Menurut beliau, mata pelajaran sejarah sepatutnya berfungsi memperkukuhkan fakta mengenai sejarah kemerdekaan negara, menyemai semangat patriotisme serta mempertahankan identiti nasional yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Parti DAP tidak boleh memaksa rakyat menerima tafsiran politik mereka seolah-olah parti tersebut menjadi tunjang utama pembinaan negara.
“Hakikat sejarah negara tidak boleh ditulis berdasarkan kehendak politik semasa atau memenuhi agenda pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Azrol berkata, sejarah perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara sebelum ini telah dipelopori ramai tokoh serta parti terdahulu yang berkorban demi tanah air dan fakta tersebut tidak boleh diubah semata-mata untuk membina naratif politik tertentu.
Beliau turut menegaskan, sekolah bukan tempat menyemai propaganda politik kepartian.
“Jika hari ini jasa sebuah parti politik diminta dimasukkan dalam silibus sejarah, bagaimana pula dengan parti-parti lain yang akan menuntut perkara sama?
“Ini memberi mesej jelas bahawa sistem pendidikan negara dijadikan medan mencari pengaruh politik selain tempat merekrut pemain politik di bangku sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perkasa turut mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya kekal profesional dan tidak melayan sebarang tekanan daripada mana-mana parti politik dalam menentukan kandungan silibus pendidikan nasional.
“Sejarah Malaysia harus ditulis secara adil, bebas daripada fakta songsang dan tidak dipengaruhi agenda politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette
















