Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Setiusaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan Utama (War Room) Parti berkenaan menjelang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai memperkukuh gerak kerja politik.

Azmin dalam kenyataanya berkata, mesyuarat yang berlangsung hampir empat jam itu memberi tumpuan kepada perkembangan politik semasa di Johor dengan MPT mendengar taklimat daripada Ketua Badan Pimpinan Negeri Johor.

Susulan itu beliau berkata, MPT mengarahkan Badan Pimpinan Negeri Johor meningkatkan perbincangan dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) Johor serta pelbagai pihak lain yang bersedia membawa perubahan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri berkenaan.

MPT turut mengambil maklum perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan dan Melaka yang dijangka berdepan PRN dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, Bersatu bersetuju mengadakan sesi perbincangan strategik peringkat tertinggi pada Jun depan yang akan melibatkan kepimpinan tertinggi parti dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka bagi memperhalusi strategi baharu dalam menjana sokongan rakyat,” katanya.

Azmin berkata, dalam usaha memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya, Bilik Gerakan Utama Bersatu akan dilengkapi teknologi moden serta sistem operasi pilihan raya digital menggunakan platform Siber bermula 1 Jun ini.

Selain itu kata beliau, pengauditan dan penaziran kerja lapangan menerusi aplikasi NADI yang diketuai Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan digerakkan secara meluas ke kawasan tumpuan Bersatu bermula hari ini.

MPT juga katanya, menyatakan sokongan terhadap usaha penerangan parti yang diterajui Datuk Tun Faisal Ismail Aziz untuk mempergiat program komunikasi strategik melalui media dan media sosial bagi memperkukuh imej Bersatu sebagai parti sederhana, progresif dan prihatin rakyat.

Pada masa sama beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan parti komponen PN.

“Bersatu yakin keharmonian dan kesatuan kukuh dalam gabungan itu mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk bersama Perikatan Nasional pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, MPT melantik Muhammad Hilman Idham sebagai wakil Bersatu dalam Majlis Tertinggi PN.

Menurut kenyataan sama, pelantikan beliau sebagai tokoh dan pemimpin muda diyakini mampu membawa kesegaran serta kecerdasan baharu dalam kepimpinan gabungan berkenaan.

MPT turut meneliti Laporan Jawatankuasa Petugas Khas Penyusunan Semula Bahagian dan bersetuju mengesahkan pelantikan Abdul Azim Mohd Zabidi sebagai Ketua Bahagian Lembah Pantai serta Safian Mohd Yunus sebagai Ketua Bahagian Bandar Tun Razak. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast