Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ahli Pimpinan Pusat, G Sivamalar

KETIKA dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik, gangguan ekonomi dan ketegangan global yang semakin meningkat, amat membimbangkan apabila masih ada ahli politik di Malaysia yang memilih untuk memainkan politik lama berasaskan kaum, ketakutan dan perpecahan. Hari ini, dunia tidak lagi berada dalam keadaan yang stabil.

Persaingan antara Amerika Syarikat dan China sedang mengubah landskap perdagangan serta pelaburan global. Konflik dan peperangan terus memberi kesan kepada harga makanan dan tenaga dunia. Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence sedang mengubah industri dan peluang pekerjaan dengan pantas. Nasionalisme ekonomi semakin meningkat di seluruh dunia.

Negara kecil dan sedang membangun seperti Malaysia kini berdepan tekanan besar untuk kekal kompetitif, stabil dan bersatu. Inilah cabaran sebenar yang sedang mengancam masa depan negara kita.

Namun, daripada mempersiapkan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran ini bersama sebagai satu bangsa, kita masih terus mendengar naratif politik yang dibina atas rasa tidak selamat kaum dan ketakutan antara masyarakat.

Baru-baru ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan mengenai “kegusaran orang Melayu”, kebimbangan terhadap pengaruh politik dan ekonomi Melayu yang semakin lemah manakala bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek pula memberi amaran kepada pengundi Cina supaya tidak membenarkan DAP menjadi “terlalu dominan”.

Bekas Menteri, P. Waytha Moorthy pula berulang kali membangkitkan bagaimana masyarakat India terus berdepan pelbagai bentuk peminggiran melibatkan aspek ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan sosial sehingga mencetuskan keresahan berpanjangan dalam kalangan masyarakat India.

Hakikatnya, ini bukan soal menyalahkan mana-mana individu atau parti politik semata-mata. Kerana hampir semua pihak hari ini sedang bermain dengan sentimen komuniti masing-masing demi menunjukkan bahawa merekalah “pelindung” kaum sendiri. Ia sudah menjadi realiti politik Malaysia pada hari.

Pemimpin pembangkang terus bergantung kepada naratif berasaskan ketakutan kerana mereka sudah ketandusan idea yang benar-benar bermakna untuk rakyat.

PERSOALAN YANG PERLU DITANYA OLEH RAKYAT MALAYSIA IALAH: KE MANAKAH AKHIRNYA POLITIK SEPERTI INI AKAN MEMBAWA NEGARA?

Jika orang Melayu diajar supaya takut kehilangan kuasa, orang Cina diajar supaya takut kepada dominasi politik Melayu, orang India pula merasakan mereka terus dipinggirkan, maka akhirnya setiap kaum akan mula melihat antara satu sama lain bukan lagi sebagai rakyat Malaysia, tetapi sebagai ancaman. Ini adalah hala tuju yang sangat berbahaya bagi mana-mana negara.

Sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa sesebuah negara tidak semestinya runtuh hanya kerana ancaman luar. Banyak negara menjadi lemah dan musnah kerana perpecahan dalaman yang terlalu parah sehingga kepercayaan antara rakyat runtuh sepenuhnya.

Yugoslavia runtuh dan tenggelam dalam konflik etnik yang ganas selepas bertahun-tahun politik perkauman dan nasionalisme sempit dimainkan. Politik berasaskan mazhab dan kelompok di Lebanon pula melumpuhkan pentadbiran negara serta melemahkan kestabilan nasional selama beberapa dekad. Sri Lanka mengalami trauma nasional yang panjang apabila ketegangan dan ketidakpercayaan antara kaum akhirnya bertukar menjadi konflik yang merosakkan negara.

Malah negara maju hari ini juga sedang menghadapi ketidakstabilan yang semakin meningkat akibat masyarakat yang terlalu berpecah.

Negara yang berpecah dari dalam akan menjadi lebih lemah dari sudut ekonomi, lebih rapuh dari sudut politik dan lebih mudah terdedah kepada ancaman luar. Pelabur akan hilang keyakinan. Golongan berbakat akan meninggalkan negara. Perbincangan dasar menjadi emosional dan bukannya strategik. Tenaga negara akhirnya habis digunakan untuk konflik identiti dan bukannya pembangunan nasional.

Dalam masa yang sama, negara lain sedang berlumba dalam bidang teknologi, pendidikan, kecerdasan buatan, ekonomi hijau dan daya saing global. Malaysia tidak mampu untuk terus terperangkap dalam politik seperti ini.

Anak muda kita hari ini bukan sekadar bersaing sesama sendiri di dalam negara. Mereka sedang bersaing dengan negara seperti China, India, Vietnam, Indonesia, Singapura dan seluruh ekonomi dunia.

PERTARUNGAN SEBENAR HARI INI BUKAN MELAYU LAWAN CINA. BUKAN CINA LAWAN INDIA. BUKAN MUSLIM LAWAN BUKAN MUSLIM

Pertarungan sebenar ialah sama ada Malaysia mampu bertahan dan berjaya dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif.

Dalam saat kritikal ini, pemimpin politik seharusnya membina keyakinan nasional, memperkukuhkan perpaduan rakyat dan menyatukan rakyat Malaysia di bawah matlamat ekonomi dan masa depan negara yang sama.

Kita memerlukan politik yang menenangkan ketakutan, bukan memperbesarkannya. Kita memerlukan politik yang membina keyakinan, bukan menanam rasa tidak selamat secara berterusan. Kita memerlukan politik yang mempersiapkan rakyat untuk masa depan, bukan politik yang terus terperangkap dalam ketakutan dan keresahan masa lalu.

Kepelbagaian Malaysia sepatutnya menjadi kekuatan strategik negara, bukannya senjata politik yang digunakan tanpa henti. Jika kita terus membiarkan politik ketakutan berasaskan kaum menguasai wacana negara, akhirnya semua pihak akan rugi.

Kerana hakikatnya, politik ketakutan mungkin mampu memenangkan pilihan raya, tetapi akhirnya ia boleh menghancurkan masa depan negara.

Oleh,

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ahli Pimpinan Pusat, G Sivamalar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast