Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempersoalkan tindakan pembangkang yang membantah keputusan kerajaan membenarkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) termasuk pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), untuk melanjutkan pengajian dalam program terpilih di universiti awam (UA).

Beliau turut mempersoalkan sama ada pembangkang mahu menafikan hak generasi muda negara untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Terdahulu, ujarnya, kerajaan melaksanakan komitmen yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Januari lalu, iaitu membuka laluan kepada lepasan sistem pendidikan di luar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam.

Jelasnya, ia bukan sahaja melibatkan lepasan UEC, malah pemegang Sijil Tahfiz turut diberikan peluang yang sama.

“Hala tuju dasar ini sangat jelas, kita mahu menambah akses rakyat Malaysia kepada pendidikan tinggi supaya lebih ramai anak muda mempunyai peluang untuk menyambung pengajian dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan, Kerajaan Madani mahu melahirkan lebih ramai bakat dan modal insan untuk masa depan negara.

Disebabkan itu, jelasnya, kerajaan bersetuju supaya akses pendidikan diperluaskan dengan memberi laluan kepada lepasan UEC memasuki universiti tempatan dan pada masa sama membuka peluang yang sama kepada pelajar sekolah tahfiz.

“Pendidikan bukan alat politik. Pendidikan adalah harapan masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast