KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang membuka laluan kemasukan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Presiden ISMA, Shuhaib ar-Rumy Selamat berkata, isu UEC bukan sekadar melibatkan akses pendidikan, sebaliknya menyentuh dasar pendidikan negara, identiti kebangsaan, perpaduan rakyat dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“ISMA melihat wujud percanggahan dalam pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendiri. KPT pernah menegaskan isu pengiktirafan UEC perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kedudukan Bahasa Melayu.
“KPT juga pernah menyatakan isu ini tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak, namun kenyataan terbaharu ini membuka laluan rasmi kepada lepasan UEC memasuki IPTA bagi program tertentu.
“Walaupun tidak menggunakan istilah pengiktirafan penuh, ia dilihat sebagai pengiktirafan secara berperingkat terhadap UEC serta mengukuhkan sistem pendidikan di luar arus Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan meritokrasi dan akses inklusif yang diketengahkan KPT tidak boleh dinilai daripada sudut akademik semata-mata kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam membina perpaduan rakyat dan identiti nasional.
Katanya, langkah tersebut memberi isyarat bahawa negara semakin longgar dalam mempertahankan asas pembinaan negara bangsa Malaysia.
“Pendidikan ialah benteng utama negara dalam membentuk identiti rakyat, bahasa bersama, semangat patriotisme dan kesetiaan kepada negara.
“Jika asas ini dilonggarkan, negara membuka ruang kepada perpecahan identiti generasi akan datang.
“Kedudukan Bahasa Melayu dikhuatiri semakin lemah, polarisasi kaum yang semakin melebar serta pengukuhan dualisme dalam sistem pendidikan negara,” katanya.
Selain itu, katanya, agenda pembinaan negara bangsa berasaskan naratif sejarah yang sama juga berdepan ancaman sekiranya sistem pendidikan nasional terus dikompromi.
“Keputusan sedemikian mungkin memberi keuntungan politik jangka pendek kepada pihak tertentu, namun kesannya terhadap masa depan negara amat besar,” katanya.
Menurutnya lagi, kegagalan mempertahankan satu sistem pendidikan nasional yang kukuh boleh menyebabkan masyarakat semakin terpisah dari sudut identiti, bahasa dan kefahaman kenegaraan pada masa depan.
“Sehubungan itu, ISMA menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan berkenaan serta terus memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan sebagai asas perpaduan dan identiti negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















