BANGKOK – Sekurang-kurangnya lapan maut manakala lebih 30 yang lain cedera selepas sebuah kereta api kargo merempuh sebuah bas di Bangkok, petang tadi.
Berdasarkan rakaman kejadian yang tular di media sosial, sebuah kereta api dilihat menghampiri lintasan kereta api pada kelajuan sederhana sebelum merempuh sebuah bas yang kemudian terbakar dengan serta-merta.
Selain bas, kemalangan itu turut membabitkan beberapa buah kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.
“Api merebak dengan cepat, namun kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kami kini sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa,” kata ketua polis Bangkok, Urumporn Koondejsumrit kepada AFP.
Sementara itu, seorang mangsa berkata, dia tidak berani untuk menoleh dan melihat sama ada terdapat mangsa ketika kejadian berlaku kerana api terlalu marak.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah mengarahkan siasatan dijalankan terhadap insiden tersebut, menurut kenyataan pejabat beliau.
Kemalangan pengangkutan maut sering berlaku di Thailand, yang kerap berada dalam senarai negara dengan jalan raya paling berbahaya di dunia, dengan faktor seperti pemanduan laju, memandu dalam keadaan mabuk dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah menjadi penyumbang utama.
Pada Januari lalu, runtuhan kren ke atas sebuah kereta api penumpang mengorbankan 32 orang dan mencederakan puluhan yang lain di timur laut Thailand.
Pada tahun 2020, satu perlanggaran antara kereta api kargo dan bas yang membawa penumpang ke upacara keagamaan turut mengorbankan 18 orang.
Tiga tahun kemudian, lapan orang maut dalam perlanggaran antara kereta api kargo dan sebuah trak pikap yang melintas landasan kereta api di bahagian timur negara itu. – MalaysiaGazette
















