MELAKA – Dasar kerajaan negeri yang mesra pelabur serta kecekapan dalam mempercepatkan urusan kelulusan dilihat menjadi pemangkin utama kepada keyakinan syarikat antarabangsa untuk terus melabur di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembukaan gedung kasut Skechers terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara hari ini membuktikan perkara itu sebagai destinasi strategik bagi pembangunan sektor perdagangan dan pelancongan membeli-belah.
Menurutnhya, kestabilan politik negeri serta pendekatan kerajaan yang mengamalkan dasar mesra pelabur berjaya mempercepatkan proses pelaburan dan memudahkan urusan syarikat untuk beroperasi di Melaka.

“Keyakinan ini terhasil kerana Melaka berada dalam keadaan politik yang cukup stabil selain kita mengamalkan dasar mesra pelabur.
“Ini termasuklah memberikan sokongan terhadap semua urusan berkaitan kelulusan permit sehingga menjadi pemangkin pengukuhan keyakinan pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan gedung Skechers terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara di Tarco Park, Limbongan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kawasan Tarkor Park berhampiran Klebang itu bakal berkembang sebagai hab membeli-belah terkenal dengan pembukaan beberapa projek komersial berskala besar.
“Kita meraikan semua pelabur-pelabur yang datang malah tak lama kawasan ini akan menjadi satu kawasan pusat membeli belah yang terkenal dengan terbukanya nanti Harvey Norman.
“Kemudian pada tahun 2028, dijangka IKEA juga akan membuka gedungnya di kawasan ini jadi saya harap Melaka akan menjadi tumpuan bukan sahaja kepada penduduknya tetapi juga pengunjung dan pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette
















