Steven Sim Chee Keong.

KUALA LUMPUR – Syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seluruh negara boleh mula memohon pembiayaan melalui Kemudahan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF) bernilai RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bermula semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, di bawah program itu, PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar faedah atau keuntungan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun.

Menurut beliau, kemudahan itu akan disalurkan melalui 18 institusi kewangan yang mengambil bahagian termasuk Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan SME Bank di bawah KUSKOP.

Jelasnya, PMKS boleh memohon pembiayaan ini bermula semalam hingga 31 Disember ini, atau sehingga keseluruhan peruntukan pembiayaan berjumlah RM5 bilion digunakan sepenuhnya.

“KUSKOP menggesa semua institusi kewangan yang terlibat supaya mempercepat proses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan di bawah SME SRF dengan prosedur yang lebih pantas, fleksibel dan mesra PMKS agar bantuan dapat disalurkan secara segera kepada perusahaan yang memerlukan dan terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Steven, KUSKOP turut berharap institusi kewangan terus memainkan peranan sebagai rakan strategikkepada PMKS dengan mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan praktikal dalam menilai permohonan pembiayaan, khususnya melibatkan perusahaan mikro dan perniagaan kecil.

Jelas beliau, dana baharu RM5 bilion daripada BNM serta tambahan RM5 bilion dalam bentuk jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menjadikan keseluruhan peruntukan dan dana bagi sektor PMKS pada tahun ini meningkat daripada RM50 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 kepada RM60 bilion.

“Ini menunjukkan tekad dan usaha Kerajaan MADANI untuk menyokong sektor PMKS Malaysia yang lebih berdaya saing walaupun berdepan krisis bekalan tenaga dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast