Kelengkapan sofa bed di Mina.

MAKKAH – Sofa bed yang lengkap dengan soket pengecas telefon bimbit menjadi antara penambahbaikan baharu yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meningkatkan keselesaan jemaah Malaysia sepanjang operasi masyair musim haji tahun ini.

Penggunaan sofa bed ini membolehkan jemaah duduk atau berbaring mengikut keselesaan di tempat masing-masing, selain tidak perlu lagi berebut tempat mengecas telefon seperti yang berlaku sebelum ini.

Sofa bed yang disediakan itu juga lengkap dengan tag nama dan gambar jemaah.

Suasana ruang pejalan kaki di maktab TH di Arafah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelbagai penambahbaikan itu dilakukan bagi menghadapi kemuncak haji bermula 8 hingga 13 Zulhijjah (bersamaan 25 hingga 29 Mei ini).

“Di Arafah, reka bentuk khemah baharu dengan penebat suhu supaya keadaan dalam khemah lebih sejuk dan selesa.

“Selain itu, unit pendingin hawa split turut dipasang supaya laluan pejalan kaki tidak panas,” katanya ketika ditemui semasa meninjau persediaan operasi masyair di sini.

Mustakim Mohamad memeriksa selimut yang disediakan untuk jemaah haji semasa tinjauan di Maktab TH di Arafah.

Katanya, di Mina, ruang khas turut disediakan tempat barang bagi membolehkan jemaah meletakkan beg dan barangan peribadi supaya mereka dapat berada di tempat masing-masing dengan selesa.

Menurutnya, persediaan operasi masyair sudah mencapai lebih 90 peratus.

Sepanjang tempoh kemuncak haji itu, lebih dua juta jemaah haji dari seluruh dunia akan berkumpul di lokasi sama untuk wukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah serta berada di Mina.

Kemudahan tandas di Arafah.

Tambah beliau, TH turut meningkatkan jumlah tandas hampir lima kali ganda kepada 600 unit di Mina bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku sebelum ini.

“Kita mahu memberi keselesaan kepada jemaah dan melancarkan operasi haji di masyair supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah dan mencapai haji mabrur, itu impian TH,” katanya.

Ruang mengambil wuduk yang disediakan di Arafah.

Dalam masa sama, Mustakim turut menasihatkan jemaah supaya membawa barangan keperluan secara sederhana termasuk menggunakan beg kecil bagi menjimatkan ruang dalam khemah.

“Jangan bawa beg terlampau besar, tuala kita sudah sediakan. Makanan insya Allah cukup, jangan risau. Tak perlu bawa makanan dari hotel.

“Kami syorkan bawa barang seadanya. Beg biar kecil supaya tidak mengambil ruang yang besar di khemah,” ujarnya.

Persiapan menjelang operasi masyair sedang giat dijalankan di Mina.

Jemaah juga diminta sentiasa mengikut arahan TH dan bergerak mengikut maktab masing-masing kerana kawasan Arafah dan Mina sangat luas.

“Kita risau nanti jemaah tersasar atau tidak tahu di mana khemah dan sofa bed masing-masing kerana semuanya nampak lebih kurang sama.

“Untuk membezakan maktab kita gunakan warna berlainan supaya jemaah senang kenal tu maktab dia. Di pintu-pintu pun akan ada signage untuk pintu jemaah A, B, C, sebagai panduan kepada jemaah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast