Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyindir pihak yang disifatkan sebagai ‘penebuk kapal dari dalam’ sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran dan pengkhianatan dalam gabungan politik.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, perjuangan PH ibarat sebuah kapal besar yang dibina bersama-sama untuk mengharungi perjalanan panjang, namun ada pihak tertentu bertindak merosakkannya demi kepentingan sendiri.

“Kita bina kapal besar bersama-sama, tetapi ada yang tebuk kapal dari dalam sampai air masuk. Bila kapal bocor, itu tandanya ada pengkhianatan berlaku.

“Ada juga ketika membina kapal, ada yang mahu tambah macam-macam termasuk kolam renang, akhirnya bila tidak dapat apa yang dimahu, kapal itu pula ditebuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) dengan tema ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Menurut Aminuddin, himpunan pimpinan dan jentera PH dari seluruh negara di Johor membuktikan gabungan itu kini semakin bersedia untuk menghadapi cabaran politik semasa.

Katanya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor perlu terus diperkukuhkan selain memastikan kemenangan dapat dipertahankan di negeri-negeri sedia ada.

Beliau turut menegaskan bahawa PKR Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan kukuh dan bersatu walaupun sebelum ini berdepan pelbagai gelora termasuk pemilihan parti.

“Amanah dan DAP juga menunjukkan komitmen kuat untuk memastikan kemenangan PH,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengkritik pihak tertentu yang disifatkan tidak konsisten dalam hubungan politik.

“Hari ini bersama kita, esok mahu tanding semua kerusi. Hari ini hormat dan setuju, esok mungkir janji.

“Kita ini ada had kesabaran, ada jiwa dan ada maruah yang perlu dipertahankan,” tegasnya.

Beliau berkata, seluruh jentera parti perlu kembali memperkukuhkan gerak kerja di akar umbi secara lebih tersusun dan berdisiplin.

Katanya, semua pimpinan dan ahli perlu menghormati apa juga keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi PH bagi memastikan gabungan itu terus kekal stabil dan kuat.

“Kalau diminta jaga suhu dan jangan keluarkan kenyataan tertentu, kita ikut demi kestabilan dan demi memastikan kerajaan ini terus menjadi kerajaan yang baik,” katanya.

Mengimbau pengalaman lalu di Negeri Sembilan, Aminuddin berkata, PH pernah menyerahkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi kepada pihak lain untuk bertanding, namun akhirnya dikhianati selepas pilihan raya.

“Itu menjadi pengajaran besar kepada kita semua,” katanya.

Beliau kemudian menyeru seluruh jentera PH dari seluruh negara supaya terus bangkit dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast