Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail)

PETALING JAYA – “Ini kamikaze kedua saya”.

Itu pengakuan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengesahkan langkah politik terbaharunya bersama sebuah parti baharu demi menawarkan pilihan lebih baik kepada generasi muda dan masa depan negara.

Menurut beliau, percaturan baharu itu tidak boleh lagi digerakkan melalui parti sedia ada sebaliknya memerlukan platform dan idea yang benar-benar segar.

“Ini kamikaze kedua yang berbaloi buat kami. Platform baru dan idea yang baru, tidak boleh datang dari parti baru,” katanya ketika mengumumkan hala tuju politik beliau bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (Bersama) sekali gus mencetuskan spekulasi besar mengenai landskap politik baharu negara.

Rafizi bagaimanapun mengakui, langkah berani itu hadir dengan risiko besar termasuk kemungkinan parti baharu gagal menembusi pilihan raya dan kehilangan deposit.

Menurutnya, generasi akan datang termasuk Generasi Z, Alfa dan Beta memerlukan pilihan politik yang lebih baik serta tidak wajar dipaksa memilih ‘yang terbaik daripada yang buruk’.

“Mereka memerlukan pilihan. Kita juga perlu memilih yang baik. Bukannya memilih secara terpaksa dari kalangan yang kita tak suka, kita dipaksa memilih the best from among the bad. Kita tak mahu macam itu,” katanya.

Beliau turut mengakui tidak mustahil usaha tersebut akan mengundang kritikan dan cemuhan namun menegaskan, perkara itu bukan keutamaan.

“Kami tahu bahawa tidak ada jaminan kami akan berjaya. Penganalisis politik semua ini duduk cakap, oh parti baru, parti itu, parti ini keluar, tidak pernah berjaya macam-macamlah kita hilang deposit semua. Dia tak tahu, kita orang memang manusia jenis gila. Kami bukan peduli pun, sebab itu namanya kamikaze.

“Jadi kami mungkin hilang deposit semua kerusi dan orang gelak pada kita. Tak apa, gelaklah korang. Mungkin kami akan bersara dari politik, orang kata sebagai orang-orang,” katanya lagi.

Rafizi menegaskan, langkah tersebut dilihat sebagai tanggungjawab moral untuk mencetuskan lonjakan baharu dalam politik negara, walaupun terpaksa mempertaruhkan masa depan politik sendiri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rafizi ambil alih Parti Bersama Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast